Allah SWT berfirman yang bermaksud:
Wanita (isteri) solehah adalah
yang taat lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada dikeranakan
Allah telah memelihara mereka. (al-Nisa’: 34)
Dalam ayat ini Allah menghimpun beberapa sifat yang wajib ada pada
seorang wanita solehah, antaranya adalah taat kepada Allah swt dan
kepada suaminya dalam perkara yang makruf (perkara baik) lagi memelihara
dirinya ketika suaminya tidak berada di sampingnya.
Al-Sheikh Abdul Rahman bin Nashir As-Sa’di r.h. berkata: "Tugas
seorang isteri adalah menunaikan ketaatan kepada Allah dan taat kepada
suaminya, kerana itulah Allah berfirman:Wanita solehah adalah yang
taat, iaitu taat kepada Allah SWT, lagi memelihara diri ketika suaminya
tidak ada di rumah atau di sampingnya". Iaitu taat kepada suami mereka
bahkan ketika suaminya tidak ada, dia menjaga suaminya dengan menjaga
dirinya dan harta suaminya.(Taisir, hal. 177)
Ketika Rasulullah menghadapi permasalahan dengan isteri-isterinya
sampai beliau bersumpah tidak akan mencampuri mereka selama sebulan,
Allah SWT menyatakan kepada baginda SAW dengan firman yang bermaksud: Jika
sampai Nabi menceraikan kalian, mudah-mudahan Tuhannya akan memberi
ganti kepadanya dengan isteri-isteri yang lebih baik daripada kalian,
muslimat, mukminat, qanitat (taat kepada Allah), taibat (sentiasa
bertaubat), ‘abidat (sering beribadat), saihat (kerap berpuasa) dari
kalangan janda ataupun gadis. (at-Tahrim: 5) [Al-Jami' li Ahkamil Quran, 18/126-127, Tafsir Ibnu Katsir, 8/132]
Nabi SAW ada bersabda yang bermaksud: "Apabila seorang wanita menjaga
solat lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadan), menjaga kemaluannya dan
taat kepada suaminya, maka ketika berada di akhirat dikatakan kepadanya:
Masuklah engkau ke dalam syurga dari pintu mana saja yang engkau
sukai". (riwayat Ahmad 1/191, Shahihul Jami’ no. 660, 661)
Berdasarkan dalil-dalil tersebut, dapat kita simpulkan bahawa sifat isteri yang solehah adalah sebagai berikut:
1. Mentauhidkan Allah dengan mengabdikan diri hanya kepada-Nya tanpa menyekutukan-Nya dengan sesuatupun.
2. Tunduk kepada perintah Allah, terus menerus dalam ketaatan
kepada-Nya dengan banyak melakukan ibadah seperti solat, puasa,
bersedekah dan selainnya.
3. Menjauhi segala perkara yang dilarang dan menjauhi sifat-sifat yang rendah yang boleh menghakis sifat-sifat mulia.
4. Selalu bertaubat kepada Allah hingga lisannya sentiasa dipenuhi
istighfar dan zikir kepada-Nya. Sebaliknya ia jauh dari perkataan yang
sia-sia, tidak bermanfaat dan membawa dosa seperti dusta dan lainnya.
5. Menaati suami dalam perkara kebaikan bukan dalam bermaksiat kepada Allah dan melaksanakan hak-hak suami sebaik-baiknya.
6. Menjaga dirinya ketika suami tidak berada di sisinya. Ia menjaga
kehormatannya dari tangan yang hendak menyentuh, dari mata yang hendak
melihat, atau dari telinga yang hendak mendengar.
Demikian juga menjaga anak-anak, rumah, dan harta suaminya.
Sifat isteri solehah lainnya boleh diperincikan berikut:
1. Penuh kasih sayang, selalu kembali kepada suaminya dan mencari
maafnya. Rasulullah SAW bersabda: "Mahukah aku beritahukan kepada
kalian, isteri-isteri kamu yang menjadi penghuni syurga ialah isteri
yang penuh kasih sayang, banyak anak, selalu kembali kepada suaminya. Di
mana jika suaminya marah, dia mendatangi suaminya dan meletakkan
tangannya pada tangan suaminya seraya berkata: "Aku tak dapat tidur
sebelum engkau reda". (riwayat al-Nasai dalamIsyratun Nisa no. 257.)
2. Melayani suaminya (berkhidmat kepada suami) seperti menyiapkan makan minumnya, tempat tidur, pakaian dan seumpamanya.
3. Menjaga rahsia-rahsia suami, lebih-lebih yang berkenaan dengan hubungan intim antara dia dan suaminya.
Asma’ bintu Yazid r.ha menceritakan dia pernah berada di sisi
Rasulullah. Ketika itu kaum lelaki dan wanita sedang duduk. Baginda
bertanya: "Barangkali antara kalian ada suami yang menceritakan apa yang
diperbuatnya dengan isterinya (hubungan suami isteri), dan barangkali
ada isteri yang memberitahu apa yang diperbuatnya bersama suaminya?"
Maka mereka semua diam tidak ada yang menjawab. Aku (Asma) pun menjawab:
"Demi Allah! Wahai Rasulullah, sesungguhnya mereka (para isteri)
benar-benar melakukannya, demikian pula mereka (para suami)".
Baginda bersabda bermaksud: "Jangan lagi kalian lakukan, kerana yang
demikian itu seperti syaitan jantan yang bertemu dengan syaitan betina
di jalan, kemudian digaulinya sementara manusia menontonnya". (riwayat
Ahmad 6/456)
4. Selalu berpenampilan yang bagus dan menarik di hadapan suaminya sehingga bila suaminya memandang akan menyenangkannya.
5. Ketika suaminya sedang berada di rumah, ia tidak menyibukkan
dirinya dengan melakukan ibadah sunnah yang dapat menghalangi suaminya
untuk istimta’ (bernikmat-nikmat) dengannya seperti puasa, terkecuali bila suaminya mengizinkan.
6. Pandai mensyukuri pemberian dan kebaikan suami, tidak melupakan kebaikannya.
7. Bersegera memenuhi ajakan suami memenuhi hasratnya, tidak
menolaknya tanpa alasan yang syarie, dan tidak menjauhi tempat tidur
suaminya, kerana ia tahu dan takut terhadap berita Rasulullah SAW yang
bermaksud: Demi zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, tidaklah
seorang suami memanggil isterinya ke tempat tidurnya lalu si isteri
menolak ajakan suaminya (enggan) melainkan Allah SWT murka terhadapnya
hingga si suami reda padanya. (riwayat Muslim no. 1436)
sekian....
No comments:
Post a Comment